My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 9 December 2017

    Pelengkap Gaya Jalanan



    But bukan lagi item fesyen yang hanya boleh dipakai ketika bercuti di negara musim sejuk tetapi ia juga sesuai untuk gaya jalanan atau ke acara kasual. Malah, pemakaian but boleh menjadi alternatif untuk mereka yang sudah bosan menyarungkan sniker dan mahu bereskperimen dalam fesyen. 

    Cuma, perlu diketahui bahawa pemilihan but yang sesuai amat penting kerana akan menentukan keselesaan anda sepanjang hari. Jika silap jenis dan saiznya, kaki mungkin akan melecet dan akhirnya memberi pengalaman kurang menyenangkan walaupun ada ungkapan mengatakan cantik itu sakit. 

    Untuk itu, Gen Y kongsikan lima panduan untuk remaja yang ingin memakai but termasuk ketika bercuti tidak lama lagi.

    Elak beli but terlalu ketat 

    Elakkan membeli but yang bersaiz lebih kecil daripada kaki anda atau ketat kerana percayalah, ia akan mengundang rasa tidak selesa pada kemudian hari. Jangan bersandarkan kepada pendapat but akan mengembang satu hari nanti kerana kaki anda akan puas menderita sebelum tibanya saat itu. 

    Sebaiknya, pilih but bersaiz sedikit besar daripada kaki supaya tidak rasa sakit ketika bergerak, lebih-lebih lagi jika memakainya untuk sepanjang hari. Ini tip paling penting dan perlu diambil kira sebelum membeli but!

    Pakai stoking 

    Jangan lupa memakai stoking kerana selain melindungi kaki daripada melecet, ia juga mengelakkan kaki anda berbau apabila berpeluh. Tidak perlu stoking yang tebal tetapi memadai dengan yang nipis atau bergantung kepada keselesaan masing-masing. Cuma, jika but itu jenis paras buku lali, jangan pula anda memakai stoking yang terlalu panjang kerana ia sama sekali tidak sesuai.

    Jenis but 

    Ini bergantung kepada minat masing-masing kerana ada remaja gemarkan but ‘biker’ dan tidak kurang juga cenderung memakai but paras buku lali yang lebih praktikal. But tumit tinggi atau halus kurang menarik, cuma ia selalunya terarah untuk acara bergaya.

    Selain itu, but tinggi paras betis atau lutut pula sesuai dipakai ketika berada di kawasan beriklim sejuk. Apa pun, pilih baju yang bersesuaian supaya tidak mencacatkan imej hanya kerana padanan tidak kena!

    Beli but berkualiti 

    Segelintir individu menganggap tiada gunanya berbelanja besar untuk sepasang but namun percayalah, tidak rugi berbuat demikian. Ia kerana but lebih mahal selalunya berkualiti tinggi dan boleh dipakai dalam jangka masa yang agak lama.

    Namun, itu tidak bermakna but berharga murah tiada kualiti kerana ada juga yang tahan lasak tetapi ia bergantung juga kepada bahan digunakan untuk membuatnya.

    Tampil berkeyakinan 

    Tiada gunanya memakai but yang mahal dan cantik tetapi tidak yakin ketika memakainya kerana ia akan mempengaruhi cara pembawaan anda di khalayak ramai. Jadi, keyakinan itu penting apabila memakai but dan jika bimbang kelihatan janggal, pilih acara yang bersesuaian dan tertentu saja untuk menggayakannya.

    Jangan hiraukan pandangan segelintir individu yang menganggap but tidak sesuai dipakai di negara ini kerana apa yang penting, anda yakin dan tahu bila waktu sesuai untuk menggayakannya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pelengkap Gaya Jalanan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top