My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 14 December 2017

    'Tak Boleh Dipertandingkan Di SUKMA'



    SUKAN angkat berat, sepak takraw dan taekwondo yang digugurkan daripada sukan teras tidak boleh dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 biarpun tuan rumah mempunyai pilihan menyenaraikannya dalam 10 sukan pilihan. 

    Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan Lembaga Pengurus MSN menggugurkan tiga sukan terbabit berkuat kuasa di SUKMA 2018 sudah dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

    “Keputusan yang diputuskan Lembaga Pengurus MSN itu turut merangkumi Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. Jadi, ketiga-tiga acara itu sah tidak disenaraikan di SUKMA 2018,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Pada SUKMA 2018, sebanyak 26 jenis sukan yang terdiri daripada 16 sukan wajib yang juga sukan teras (dahulunya 19 sukan) sementara 10 lagi adalah sukan pilihan tuan rumah yang akan merangkumi keseluruhan 369 acara.

    Sukan wajib yang dipertandingkan adalah akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak dan futsal, gimnastik artistik dan gimrama, hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, skuasy, boling serta wushu.

    Sukan pilihan pula adalah bola baling, bola jaring, bola keranjang, golf, judo, kriket, petanque, ragbi, muay dan tinju. Sejak 2008, angkat berat, sepak takraw dan taekwondo disenaraikan dalam program sukan teras MSN dan sejak itu sukan terbabit tidak pernah ketinggalan daripada dipertandingkan di SUKMA.

    Sementara itu, dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi, Shapawi berkata MSN dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan persatuan sukan kebangsaan akan menganjurkan kejohanan remaja kebangsaan bagi sukan tenis dan lawan pedang pada tarikh yang sama SUKMA Perak berlangsung dari 12 hingga 22 September.

    “Pemilihan dua jenis sukan ini berdasarkan kepada kecenderungan negeri-negeri terhadap sukan tersebut yang bukannya sukan pilihan SUKMA 2018 dan memastikan pembangunan yang sedia ada tidak terjejas walaupun tidak dipilih sebagai acara dalam SUKMA 2018,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: 'Tak Boleh Dipertandingkan Di SUKMA' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top