My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 30 January 2018

    Saya Hanya Mahu Dekati Warga Cameron Highlands



    Kesejukan suasana di Cameron Highlands tidak pernah menghalang seorang ahli politik ini bekerja mendekati rakyat, suatu usaha yang sudah dilakukannya sejak Februari 2000. Boleh dikatakan, hampir setiap minggu, kelibatnya akan kelihatan di sekitar Cameron Highlands dengan mendekati warga di sini samada menghadiri majlis perkahwinan, kematian dan macam-macam majlis lagi.

    Dia yang dimaksudkan adalah Tan Sri Dr M Kayveas, Presiden myPPP, salah sebuah parti komponen di dalam Barisan Nasional. Mungkin ada yang sudah mengenali caranya dan mungkin baru sahaja mengenali cara kerjanya. Bagi penulis, gerak kerja beliau memang diakui dan begitu mudah mendekati rakyat tanpa mengira apa jua kaum dan fahaman politik.

    Kesempatan yang tidak diduga langsung ini berlaku sewaktu penulis berkunjung ke Cameron Highlands bersama-sama keluarga. Secara kebetulan, beliau ada di salah sebuah restoran di Tanah Rata dan pada kesempatan berkenaan penulis mendekati beliau dan cuba memahami aspirasi beliau di Cameron Highlands ini.

    Secara amnya, beliau tidaklah lokek untuk menceritakan apa yang beliau mahu lihat di Cameron Highlands ini. Baginya, apa yang beliau harapkan adalah pembangunan berterusan serta segala perit jerih masalah rakyat di Parlimen ini dapat beliau dengari dengan lebih rapat lagi. Oleh yang demikian, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendekati rakyat pada bila-bila masa sekalipun.

    Baginya, adalah menjadi satu kepuasan untuknya bekerja untuk rakyat dan membantu rakyat selagi yang beliau mampu. Mungkin ada yang mendakwa, apa yang dilakukannya ini hanyalah untuk mempopularkan dirinya sewaktu negara di ambang Pilihan Raya Umum ke 14. Dengan bersahaja beliau menjawab, saya hanya mahu mendekati warga Cameron Highlands yang begitu inginkan suara mereka didengari oleh seorang wakil rakyat.

    Hal siapa yang terpilih, bukanlah terletak ditangan beliau. Apa yang beliau tahu, beliau meneruskan usaha beliau sejak tahun 2000 dalam mendekati warga Cameron Highlands di samping memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan.

    Ditengah-tengah perbualan penulis, secara tiba-tiba diganggu dengan kehadiran seorang warga emas yang dikenali sebagai Puan Rubiah Binti Samah. Tidak ada sesiapa menduga, kehadirannya itu hanyalah untuk menyampaikan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada Tan Sri Dr M Kayveas kerana sudi menajanya menunaikan Umrah.

    Siapa sangka, keluh kesahnya yang begitu ingin menunaikan Umrah ditunaikan oleh Tan Sri Dr M Kayveas secara tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. Mungkin, buat pertama kali dalam hidup Puan Rubiah, dia memeluk seorang lelaki lain selain daripada suami dan anaknya tanda mengucapkan beribu-ribu kesyukuran di atas kesudian beliau menaja pemergiannya ke Tanah Suci yang dijangka akan berangkat pada 31 Januari ini.

    Ketika menanyakan tentang hal ini, Puan Rubiah memberitahu, dia tidak pernah terfikir akan ada mana-mana pemimpin akan menajanya ke Tanah Suci. Baginya, apa yang dilakukan oleh Tan Sri Dr M Kayveas ini cukup luar biasa dan tidak mungkin mampu ditandingi oleh mana-mana pemimpin BN yang pernah mengemudi kerusi Parlimen Cameron Highlands ini.

    Tidak banyak yang dia mahu. Apa yang dia hajatkan agar Parlimen ini berada ditangan yang betul dan disukai oleh rakyat. Puan Rubiah secara terbuka menolak sebarang perubahan kerajaan termasuk Parlimen Cameron Highlands ini ditadbir oleh orang yang salah terutamanya sekali dari Pakatan Harapan.

    Memang sukar untuk menjangka, siapakah yang akan menjadi calon pilihan untuk kesemua 222 buah kerusi Parlimen yang akan mewakili BN kelak, terutamanya sekali kerusi Parlimen Cameron Highlands. Cuma, seperti apa yang diharapkan oleh Puan Rubiah, biarlah calon berkenaan mampu bekerja untuk rakyat dan diterima oleh rakyat.

    Tidak guna hanya melaungkan sesebuah kerusi itu sebagai kerusi tradisi namun dari segi penerimaan rakyat, ianya tidak begitu memberansangkan. Apa yang ditunjukkan serta komen-komen rakyat di sekitar Cameron Highlands dan Kampung Raja telah menunjukkan sesuatu yang mungkin akan menyaksikan, vateran politik ini kembali bersaing untuk merebut sebuah kerusi Parlimen.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Saya Hanya Mahu Dekati Warga Cameron Highlands Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top