My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 16 March 2018

    Kembara Selesa




    Meskipun Hong Leong Yamaha Motor Malaysia (HLYM) belum memutuskan sama ada untuk membawa masuk model premium Yamaha XT1200Z Super Tenere ke pasaran tempatan, sesi tunggang uji jentera dikenali sebagai ‘Super Ten’ ini dalam kalangan wartawan permotoran sudah dilaksanakan. 

    Model diimport sepenuhnya dari Amerika Syarikat (AS) ini mula diperkenalkan ke pasaran global pada 1983 melalui model XT600Z Tenere yang diinspirasikan daripada model ubah suai XT550 untuk kegunaan perlumbaan rali Paris-Dakar pada 1979 dan 1980.

    Selepas 35 tahun mengalami evolusi rekaan dan jentera, Super Tenere dikuasakan enjin 1,200cc mula ditawarkan pada 2010 bagi menyaingi model kembara sport jenama lain di pasaran global. Penulis berkesempatan menguji model terbaru ini dan sememangnya sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti penjelajahan dengan keupayaannya yang terbukti dalam perlumbaan rali.

    Melihat pada rekaannya, jentera ini adalah model enduro dengan kerangka tiub keluli berketahanan tinggi dengan travel hadapan 190 milimeter (mm) dan trail 126mm untuk melalui pelbagai permukaan jalan dengan lebih lancar.

    Fork terbalik 43mm dengan prabeban boleh laras, dan lengan ayun mono­schock berfungsi menyerap gegaran serta mengurangkan lantunan ketika mengharungi laluan tidak rata atau selekoh. Tempat duduk boleh laras dua kedudukan pada 845 atau 870mm boleh disesuaikan dengan keselesaan penunggang, selain pelana lebar dan lembut selesa untuk tunggangan lama.

    Cermin pelindung tiga posisi mengelak tujahan angin atau air hujan terus kepada penunggang, me­nyerlahkan lagi ciri kembara pada motosikal ini. Dilengkapi enjin 1,199cc dua silinder sebaris penyejukan cecair dengan kuasa kuda 112PS pada 7,250rpm dan tork 117Nm pada 6,000rpm.

    Malah, ketika memasuki kawasan bandar, ia mudah dikendalikan dengan transmisi enam kelajuan dan shaft drive untuk lebih responsif. Model ini juga dibantu paparan meter digital penuh untuk kemudahan maklumat perjalanan, permukaan jalan dan paparan tahap bahan api serta jarak perjalanan.

    Melalui suntikan bahan api termaju Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) memberikan kawalan maksimum pada pendikit, selain kawalan cengkaman tiga peringkat. Yamaha D-Mode untuk mod tunggangan biasa disesuaikan dengan permukaan jalan, manakala mod Touring dan Sport untuk lebih berprestasi.

    Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Sistem Brek Disatukan (UBS) berfungsi baik dalam memberhentikan motosikal dengan jarak lebih pendek. Jika membabitkan perjalanan jauh, penulis menggunakan fungsi pelayaran dan boleh dilaras serta dikawal dengan mudah bagi penetapan kelajuan.

    Selepas menunggang untuk beberapa hari, penulis berpendapat Yamaha XT1200Z Super Tenere adalah jentera kembara yang ideal bagi mereka sukakan cabaran. Seberat 257 kilogram (kg), model ini dilengkapi aksesori pilihan seperti pelindung enjin, besi carrier dengan kotak sim­panan aluminium dan pelapik tangki bagi keselesaan tunggangan.

    Jarak kelegaan tanah sehingga 190mm dan tangki bahan api 23 liter membolehkan Super Ten bergerak sejauh lebih 360km sebelum memerlukan isian semula bahan api.

    SPESIFIKASI: Yamaha XT1200Z Super Tenere

    Enjin: 1,199cc dua silinder sebaris penyejukan cecair
    Transmisi: Enam kelajuan
    Kuasa maksimum: 112Ps pada 7,250rpm
    Tork maksimum: 117Nm pada 6,000rpm
    Kapasiti bahan api: 23 liter
    Berat: 257 kg
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kembara Selesa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top