My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 7 March 2018

    Pelakon Teruja Hidupkan Watak



    Filem Peter Rabbit arahan Will Gluck yang bakal ditayangkan di pawagam tempatan bermula Khamis ini memuatkan banyak kejutan. Ia diadaptasi daripada buku cerita kanak-kanak berjudul The Tale of Peter Rabbit karya Beatrix Potter yang pernah diterbitkan pada 1902. 

    Pelakon James Corden yang meminjamkan suaranya untuk watak Peter nyata teruja dan seronok apabila menjadi pilihan produksi filem terbabit. “Saya pertama kali membaca koleksi buku hasil karya Beatrix ketika kecil dulu di rumah dan di sekolah Ahad di England.

    “Saya membesar dalam keluarga Salvation Army dan pergi ke sekolah Ahad, setiap minggu. Tapi tidak pasti di mana saya dapat mengumpul dan mencari buku itu di perpustakaan,” katanya ketawa. 

    Pengacara program bual bicara itu akui jatuh cinta dengan buku itu seperti dia sukakan komik The Beano yang sangat popular di United Kingdom. Katanya, ia agak dewasa dan sukakan Peter Rabbit kerana kenakalannya yang disifatkan perkara biasa apabila berada pada usia itu.

    “Apabila kamu berada pada usia tertentu, kamu pastinya akan disuruh untuk tidak melakukan itu atau ini atau apa saja! Apabila menemui sebuah karakter yang disokong ibu bapa, yakni watak yang nakal dan berlawanan dengan suruhan orang tua, ia sangat menyeronokkan,” katanya.

    Corden berkata dia sangat gembira apabila Gluck menawarkannya menjadi sebahagian daripada filem yang menggabungkan aksi hidup dan watak animasi. Selain Corden menghidupkan watak Peter Rabbit melalui suaranya yang nakal, pelakon lain seperti Domhnall Gleeson pula tampil sebagai McGregor dan Rose Byrne, (Bea) mengembalikan nostalgia buku legenda itu.

    Namun, Corden mendedahkan ada bertanya kepada produksi bagaimana mereka ‘menghormati’ setiap karekter, terutama keseronokan menjadi nakal dengan cerita asalnya. “Ia sangat penting buat saya, Domhnall dan semua yang terbabit sebab jika tidak, lebih baik mereka hasilkan Dave the Bunny sahaja.

    “Pastinya, langkah paling besar perlu dilakukan produksi adalah semua cerita perlu dipendekkan. Apabila saya membaca semula buku itu, banyak boleh dipendekkan untuk diangkat ke layar lebar. Jadi, ia mengenai mengambil inti pati karakter, dunia yang dicipta Potter dan menghormati legasinya,” kata Corden.

    Pelakon dan pengacara berusia 39 tahun itu berkata, apa yang dia mahu dengar adalah Gluck mendapat restu penuh daripada Beatrix Potter Estate dan mereka membaca skrip serta menjadi tulang belakang filem iu. Perkara itu diakui Gluck yang menjelaskan ketika menulis lakon layar filem, dia terbayangkan Corden untuk suara Peter.

    “Saya tidak tahu mengenai perkara itu dan ia sesuatu yang indah. Pertama kali bertemu Gluck apabila dia menonton persembahan saya, One Man, Two Guvnors di The National Theater (London) beberapa tahun lalu.

    “Saya amat meminatinya terutama karyanya, Easy A, yang saya anggap sangat bijak! Dia juga seorang lelaki yang seronok didekati,” kata Corden.

    Dalam Peter Rabbit, watak McGregor mewarisi sebuah rumah di pedalaman Eropah daripada bapa saudaranya yang meninggal dunia kerana serangan jantung. McGregor bekerja di bahagian permainan kanak-kanak di pasar raya Harrods merancang mengubah suai rumah diwarisinya itu dan menjualnya untuk dijadikan modal membuka kedai permainan sendiri.

    Bagi melaksanakan impian itu, dia perlu berdepan dengan Peter dan rakannya yang tinggal di kebun berhampiran rumah terbabit. Peter dan rakannya tidak mahu menyerah kalah dan nekad mematahkan hasrat McGregor. Tatkala jalan cerita berkembang, pengarah mengakui mesej dan nilai baik filem itu sangat kuat iaitu keperluan untuk berkongsi dunia dan belajar untuk hidup bersama.

    “Kita berharap anak akan belajar nilai penting menerima dan berkongsi pada masa sama. Jika Peter Rabbit dapat membantu dalam perkara ini, ia perkara hebat dan wajar dibanggakan. Saya baru dikurniakan anak ketiga pada Disember lalu dan disebabkan mereka, saya terima tanggung jawab ini,” kata Corden lagi.

    Lebih manis, anak sulungnya, Max yang kini berusia enam tahun juga peminat buku Peter Rabbit. Katanya, mereka mempunyai semua koleksi Peter Rabbit dan mula membacanya secara serius tahun lalu. Dia turut membelikan patung permainan karakter itu ketika anaknya masih bayi sebagai teman tidur.

    Produksi minta maaf babak alahan

    Dalam pada filem Peter Rabbit mula diperkatakan peminat, produksi filem itu meminta maaf kerana ada pihak mengecam filem itu berikutan babak alahan kepada buah beri. Sony Pictures dalam kenyataan mereka berkata, alahan makanan adalah isu serius dan filem itu tidak patut menonjolkan watak arkinemesis, Mr McGregor yang alahan beri hitam walaupun secara slapstik. 

    “Kami benar-benar memohon maaf kerana tidak sedar dan sensitif dengan isu ini. Sekali lagi, kami mohon maaf,” kata mereka ringkas.

    Isu itu semakin panas apabila Presiden Yayasan Asma dan Alergik America Kennet Mendez mendakwa babak Peter Rabbit dan rakannya melontar beri hitam ke mulut McGregor adalah tidak wajar kerana aksi bahaya itu seolah-olah tidak mendatangkan masalah kepada kanak-kanak yang menontonnya kelak.

    Dia turut mendakwa situasi itu mengguris perasaan ahli yayasan terbabit kerana menggalakkan orang awam agar tidak ambil serius kesan alahan yang sebenarnya boleh membahayakan nyawa.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pelakon Teruja Hidupkan Watak Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top