My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 6 March 2018

    Pencapaian Luar Biasa



    Animasi Coco yang mengetengahkan perayaan memperingati orang mati masyarakat Mexico mendapatkan sambutan luar biasa penonton seluruh dunia. Ditayangkan tahun lalu, karya terbitan Pixar Animation Studios itu menerima deretan anugerah berprestij dan terbaru memenangi dua kategori Anugerah Academy ke-90 iaitu Animasi Terbaik dan Lagu Asal Terbaik. 

    Walaupun Coco sekadar cerita kanak-kanak, menghasilkan animasi yang menyentuh budaya bukan mudah kerana setiap maklumat dan butiran dipaparkan perlu tepat. Produser Darla K Anderson berkata, mereka yang terbabit dalam produksi Coco melawat penduduk di Mexico bagi memahami hari memperingati orang mati selain mendapat nasihat daripada pakar budaya negara itu.

    “Selain itu, kami turut menitikberatkan suasana bandar ketika perayaan itu berlangsung. Satu lagi cabaran adalah Coco ada banyak watak pelbagai personaliti antaranya rangka manusia yang berpakaian dan boleh menari. Bukan senang untuk menghasilkan setiap watak itu.

    “Sebenarnya banyak yang kami mahu berkongsi mengenai perayaan itu kepada penonton, namun adalah mustahil untuk padatkan semua dalam 90 minit,” katanya.

    Ketika ditanyakan idea menghasilkan animasi itu, Anderson menjelaskan pengarah Lee Unkrich ada minat mendalam terhadap perayaan memperingati orang mati sewaktu belajar di kolej. “Dia tertarik dengan kemeriahan perayaan itu yang diserikan dengan muzik dan suasana warna-warni.

    “Keunikkan itu mendorong dia untuk mengkaji mengenai perayaan terbabit dengan lebih terperinci, seterusnya mengangkatnya ke layar perak,” katanya.

    Menurut produser itu, pada asalnya, Coco memaparkan jalan cerita berbeza mengenai kanak-kanak bernama Miguel yang kehilangan ibunya berhijrah ke Mexico untuk tinggal bersama datuk dan neneknya.

    “Namun, kami sedar kisah sedemikian mungkin tidak akan menjadi. Kemudian kami mengubah plot cerita kerana menyedari perayaan terbabit sebenarnya adalah untuk sentiasa memperingati nenek moyang dan orang tersayang.

    “Dalam versi baru, keluarga Miguel melarang dia membabitkan diri dalam bidang muzik dan daripada situ kami mengembangkan kisahnya,” katanya.

    Dengan pencapaian besar Coco, Anderson berkata, tiada masalah untuk Pixar menghasilkan animasi yang mengetengahkan budaya sesebuah masyarakat pasa masa depan. “Kejayaan Coco membuktikan penonton di seluruh dunia boleh menerima baik budaya masyarakat Mexico.

    “Saya gembira apabila ada ramai tampil memberi pendapat dan berharap Coco dapat memberi inspirasi kepada orang ramai,” katanya. Mengenai perancangannya selepas ini, Anderson mahu bercuti panjang selepas lama menumpukan sepeuh perhatian terhadap pembikinanCoco.

    “Saya jenis yang fokus terhadap satu projek dan setakat ini belum terbabit dalam mana-mana projek Pixar,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pencapaian Luar Biasa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top