My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 7 March 2018

    Siapa Kata Beliau Tiada Sokongan?



    Dalam usaha seseorang ahli politik itu untuk memperolehi jawatan yang diidamkan seperti ADUN mahupun Ahli Parlimen, sokongan daripada akar umbi sangat penting. Malah, tidak kurang juga sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan termasuklah penduduk sekitar juga amat diperlukan kerana merekalah yang akan menentukan hala tuju dan masa depan seseorang ahli politik berkenaan.

    Inilah yang dapat disaksikan semasa kunjungan singkat Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas ke Kampung Lemoi bagi menyantuni warga Orang Asal di sana. Seawal 9 pagi, rombongan beliau telah bertolak ke kampung berkenaan yang boleh dianggap sebagai antara kampung yang mendapat sentuhan peribadi beliau.

    Manakan tidak, satu ketika dahulu, kampung atau lebih tepat lagi, Kampung Pos Lemoi ini amat sukar dimasuki oleh apa jua kenderaan kecuali motosikal. Dengan jalan yang begitu merbahaya selain daripada ancaman tanah runtuh serta sempit, hanya motosikal penduduk pos ini sahaja yang mampu meredah segala bahaya.

    Kunjungan awal beliau sebelum ini telah membawa satu arus perubahan besar di pos ini. Manakan tidak, dalam tempoh lebih kurang setahun, jalan yang menghubungkan pos ini dengan jalan besar telah dipertingkatkan. Memang benar, jalannya tidaklah secantik jalan bertar, namun, setidak-tidaknya, kenderaan pacuan empat roda sudah boleh memasuki kampung ini dengan begitu mudah.

    Terbaru, satu program telah diadakan di kampung ini yang dianjurkan oleh MyPPP Wilayah Persekutuan yang telah mengangkat kampung ini sebagai kampung angkat mereka. Pelbagai program dianjurkan sepanjang 2 hari program Sentuhan Rakyat ini diadakan. 

    Antaranya, gotong royong membersihkan kawasan surau yang dibina hasil inisiatif beliau bersama-sama penduduk kampung, sukaneka, wayang pacak dan beberapa acara lagi. Apa yang ingin dibicarakan adalah, bagaimana kesemua program ini dianjurkan hasil kerjasama dengan Cameron Highlands seperti Kelab Eksplorasi 4X4 Cameron Highlands.

    Pasukan Kelab Eksplorasi 4X4 Cameron Highlands yang terdiri daripada 6 orang ini telah memasuki pos ini lebih awal dari rombongan MyPPP samada dari Kuala Lumpur mahupun Cameron Highlands. Merekalah yang mula-mula sekali menggerakkan kerja gotong royong membersihkan kawasan surau, melakukan pembersihan kawasan kampung dan pelbagai lagi.

    Malah, atas kerjasama baik mereka jugalah yang menjayakan wayang pacak yang diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Pos Lemoi. Mereka jugalah yang telah menjayakan banyak acara sukaneka selain daripada menyediakan khidmat keselamatan kepada rombongan MyPPP yang menginap di kampung berkenaan.

    Apa yang menyentuh perasaan adalah, bagaimana keprihatinan Tan Sri M Kayveas yang dilihat bersungguh-sungguh mencari kenderaan yang menyertai rombongan ini bagi membolehkan anak-anak Orang Asal yang tinggal di asrama di Tanah Rata, dapat bersama-sama beliau keluar dari kampung berkenaan sebaik sahaja program ini berakhir.

    Hasilnya, dua daripada kenderaan pacuan 4 roda milik NGO ini keluar dengan membawa sekurang-kurangnya 20 anak Orang Asal untuk keasrama. Malah, segala perbelanjaan membawa keluar anak-anak Orang Asal ini ditanggung sepenuhnya oleh beliau. 

    Mungkin ada yang beranggapan, apa yang dilakukan oleh beliau ini hanyalah untuk memancing undi. Hakikatnya, mengikut beberapa orang penduduk Orang Asal, Tan Sri M Kayveas memang begitu mudah didekati. Kata mereka, jemput sahaja beliau datang ke mana-mana kampung Orang Asal di Cameron Highlands, beliau pasti akan datang dan ini sudah berlaku sejak lebih 3 tahun yang lalu.

    Paling utama, sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin melihat sendiri keindahan Kampung lemoi, jangan lupa untuk melihat sendiri satu lagi usaha Tan Sri M Kayveas dalam "menyinari" kehidupan warga kampung berkenaan.

    Semuanya hasil daripada pembinaan Empangan Vortex yang berfungsi sebagai membekalkan tenaga elektrik ke perkampungan berkenaan. Walaupun empangan berkenaan tidaklah sebesar mana, namun jasa empangan ini cukup besar buat kira-kira 26 buah rumah di kampung ini. Malah, hasil daripada empangan yang dibina dengan kerjasama UTM ini jugalah yang memberi bekalan elektrik kepada Sekolah Kebangsaan Kampung Lemoi ini.

    Malah, dalam membangunkan empangan ini, beliau telah memberikan sumbangan sebanyak RM 30 ribu bagi menjayakan projek sulung ini. Impaknya cukup besar buat penduduk sekitar dan paling mengharukan, projek ini kekal dipelihara oleh warga Kampung Pos Lemoi sehinggakan untuk menyaksikan walau satu sampah disekitar empangan berkenaan, memang satu perkara yang mustahil.

    Lihat sahaja bagaimana semua pihak sudi bekerjasama dan memberi sokongan kepada Tan Sri M Kayveas dalam menggerakkan pelbagai program di Cameron Highlands. Jika ada yang mendakwa beliau tiada sokongan, mereka perlu melihat semula kata-kata mereka itu. Beliau tidak akan mampu bergerak jika tiada sokongan dari pelbagai pihak termasuk NGO-NGO di Cameron Highlands.

    Malah, beliau juga pasti disambut dingin di mana sahaja beliau pergi sekiranya rakyat tidak menyokong beliau. Namun, apa yang disaksikan sejak lebih 3 tahun yang lalu menyaksikan, kemana sahaja beliau pergi waima gambar wajahnya terpampang di baju sekalipun, rakyat akan bertanya, Tan Sri sihat ataupun tidak, apa program Tan Sri dan macam-macam lagi.

    Adakah ini lambang beliau tidak mendapat sokongan daripada warga Cameron Highlands atau NGO yang ada di tanah tinggi berkenaan?  Mungkin video dan beberapa keping gambar ini boleh menceritakan bagaimana beliau cukup mendapat sambutan dan sokongan daripada warga Cameron Highlands itu sendiri.




    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Siapa Kata Beliau Tiada Sokongan? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top