My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 6 March 2018

    Ubat Akrofobia



    Akrofobia. Berasal daripada bahasa Yunani, ‘akron’, bermaksud seseorang yang takut terhadap tempat tinggi. Akrofobia juga berlaku disebabkan trauma pernah terjatuh dari tempat tinggi. 

    Disebabkan akrofobia yang dialami sejak kecil berpunca daripada takut melintasi jambatan tinggi selepas ternampak kelibat ‘bujang senang’ di gigi sungai, penulis sebolehnya cuba mengelak berada di tempat tinggi. Kata pakar psikologi, keadaan itu boleh berubah seiring usia dan berpotensi diatasi secara semula jadi dengan melakukan perkara yang ditakuti itu tanpa paksaan.

    Nyata dek pemerhatian kaca pada ketinggian lebih 450 meter di Seoul Sky, Lotte World Tower, Korea Selatan menjadi saksi akrofobia yang dialami penulis sejak 30 tahun lalu boleh diatasi tanpa memerlukan sebarang ubatan.

    Perasaan takut untuk melintas jambatan itu masih ada cuma penulis kini tidak lagi teragak-agak untuk berdiri di tempat tinggi bagi tempoh lama malah sudah mampu berswafoto sebagai dorongan untuk diri.

    Sejak di tanah air lagi penulis sememangnya teruja untuk berkunjung ke bangunan kelima tertinggi di dunia itu. Semuanya gara-gara gesaan teman yang mahukan sedikit kelainan dalam kembara pertamanya ke Korea Selatan. Tambahan pula ketika kunjungan kami, ia baru lima bulan beroperasi dan masih belum sesak dengan kumpulan pelancong berbanding lokasi tumpuan biasa di Seoul. 

    Malah sebelum pembukaan rasminya pada pertengahan musim bunga tahun lalu, Seoul Sky berjaya mencipta tiga rekod dunia Guinness. Dek pemerhatian kacanya yang terletak di tingkat 118 dinamakan sebagai dek pemerhatian kaca paling tinggi di dunia.

    Lif Sky Shuttle pula direkodkan sebagai lif dua dek terpantas di dunia dengan kelajuan 600 meter seminit manakala rangkuman jaraknya disenaraikan sebagai terpanjang di dunia.

    Untuk ke sana kami hanya menaiki tren laluan hijau (nombor dua) dari stesen Universiti Hongik ke Jamsil. Perjalanannya mengambil masa 38 minit yang merentasi Sungai Han dengan bayaran 1,450 won (RM5.15) menggunakan kad T-Money.

    Stesen Jamsil terletak bersebelahan dengan Lotte World Tower yang dihubungkan dengan laluan bawah tanah, yang mana pintu keluar bernombor 2 membolehkan pengunjung terus ke gerbang lobi Seoul Sky. Pengunjung terlebih dulu perlu membeli tiket 27,000 won (RM95.70) untuk dewasa dan 24,000 won (RM85.10) untuk kanak-kanak.

    Di atas kertas, harga masuk saja pasti membuatkan pengunjung bajet berfikir beberapa kali, namun pengalaman yang diraih pada ketinggian hampir 500 meter itu sememangnya lebih mahal nilainya. Petugas Seoul Sky kemudian membawa kami melintasi ruang pameran sejarah pembinaan bangunan itu dan sedikit maklumat mengenai bandar raya lama Seoul.

    Kami bagaimanapun mempercepatkan langkah kerana tidak sabar untuk merasa pengalaman menaiki lif dua dek paling pantas di dunia itu yang disertai dinding multimedia memaparkan pemandangan sekitar bandar raya Seoul pada setiap musim.

    Sejurus pintu lif dibuka di tingkat 117, hanya ‘wow’ dan ‘wah’ saja mulanya yang mampu diluahkan sambil tangan tanpa henti merakamkan gambar serta video di setiap ceruk anjung tinjau.

    Kami bernasib baik kerana cuaca cerah ketika itu hingga dapat menyaksikan struktur menarik keseluruhan kota raya Seoul yang memperlihatkan perancangan bandar teratur dan kemas. Difahamkan pemandangan boleh dilihat sehingga sejauh Incheon, Songdo dan Laut Kuning (kadangkala dipanggil sebagai Laut Barat) dalam keadaan cuaca benar-benar baik dan cerah.

    Kejutan tidak terhenti di situ kerana setiap tingkat memberikan pengalaman berbeza. Kami seterusnya ke tingkat 118 untuk berasa sendiri berdiri di atas dek kaca.

    Saat ini hati mula berkecamuk untuk meneruskan langkah ke kawasan kaca itu tetapi selepas melihat sekumpulan ‘ahjumma’ (mak cik dalam bahasa Korea) dengan selamba berswafoto beramai-ramai, perlahan-lahan kaki ini diseret ke tepi kaca. Bermula dari tepi, kami bergerak ke tengah hinggalah penulis tiada segan silu duduk bersimpuh di atas dek kaca itu demi mendapatkan sisi foto menarik.

    Namun, penulis tidak menghabiskan masa lama di situ kerana hati tetap jua bimbang dengan segala macam kemungkinan

    Tingkat 119 lebih tertumpu pada kafe Sky Friends bagi mereka yang ingin berehat seketika sambil menikmati secangkir kopi Americano yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Kami bagaimanapun memilih untuk ke Sky Terrace di tingkat 120 dengan ketinggian 486 meter bagi menikmati udara dingin musim luruh sambil meneruskan sesi merakam gambar landskap Seoul di ruang terbuka.

    Kalau diikutkan, pengunjung bebas (yang bukan daripada kumpulan lawatan) disyorkan berada di kawasan keseluruhan dek selama sejam bagi mengelakkan kesesakan. Namun, kami menghabiskan masa lebih dua jam di sana berikutan tidak ramai pengunjung ketika itu walaupun pada hari minggu. 

    Cuaca yang cerah mula berubah mendung lalu kami habiskan lawatan dengan mengunjungi kedai hadiah berhampiran Sky Terrace dan baki wang pecahan daripada bayaran tiket masuk digunakan bagi membeli beberapa cenderamata sebagai kenangan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ubat Akrofobia Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top