My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 27 April 2018

    Gaya, Pantas, Agresif



    Responsif dan agresif. Begitulah kelebihan motosikal ini yang julung kali menjengah pasaran tempatan empat tahun lalu. Yamaha MT-09 adalah jentera naked yang dijana enjin tiga silinder bagi kepuasan tunggangan dan berprestasi. 

    Untuk model serba baru dilancarkan awal tahun ini, model ini dilengkapi ciri terbaru Yamaha disesuaikan dengan keperluan gaya hidup masa kini. Penulis berpeluang menunggang uji Yamaha MT-09 yang kini tampil dengan beberapa ciri diperbaharui bagi memenuhi cita rasa peminat jentera dua roda berkuasa tinggi.

    Sebaik memulakan tunggangan, enjin yang masih mengekalkan tenaga 847 cc memberi pecutan lancar dan bertenaga di lebuh raya terutama padanan sistem Quick Shift menjadikan tukaran gear lebih mudah. Transmisi enam kelajuan dengan sistem bantu klac dan slipper berfungsi baik terutama ketika menyelit untuk meredah laluan sesak di bandar.

    Antara ciri terbaru diperkenalkan adalah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dilaras mengikut keadaan jalan raya, menjadikan tunggangan meyakinkan dan lebih selamat.

    Model diperbaharui ini juga didatangkan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sebagai elemen keselamatan tambahan terutama ketika memberhentikan motosikal ketika berkelajuan tinggi. Menyentuh rekaan MT-09 serba baru ini, paling mendapat perhatian ialah lampu hadapan berkembar LED agresif termasuk lampu posisi yang mudah dilihat dalam sebarang keadaan.

    Tangki bentuk baru menjadikan kedudukan menunggang lebih selesa terutama pada kelajuan tinggi atau melewati selekoh bagi kawalan dan kestabilan lebih jitu. Juga penutup sirip pelindung radiator menambah elemen gaya dan memberi sentuhan sporty.

    Antara elemen baru lain diperkenalkan ialah lengan ayun dipasang bersama pemegang nombor pendaftaran. Lampu belakang dan isyarat daripada LED kekal pada kerangka untuk kelihatan lebih tirus dan aerodinamik, sesuai mengikut peredaran zaman. Ketika menunggang, paparan meter elektronik tiga mod tunggangan mengikut kesesuaian.

    MT-09 didatangkan bersama tangki bahan api berkapasiti 14 liter dan mampu bergerak sejauh lebih 250 kilometer dengan kelajuan purata sekitar 140 kilometer sejam (km/j). Secara keseluruhan, Yamaha MT-09 adalah jentera memiliki daya kilas atau ‘torky’ terbaik, menjanjikan kendalian lebih baik buat penunggang dengan curahan kuasa tanpa batasan. ENJIN tiga silinder responsif.

    Teknologi ‘Crossplane Crankshaft Concept’ membolehkan jentera kekal meluncur laju walaupun pendikit diperah ketika rpm rendah. Tambahan pula topang hadapan (fork) boleh laras sepenuhnya dengan penyerap hentakan monocross boleh laras dua peringkat di belakang membolehkan penunggang mengawal jentera dalam sebarang permukaan jalan raya.

    Dua warna ditawarkan iaitu Night Fluo (kelabu) dan Tech Black (hitam) dengan harga RM47,388 (tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama setahun atau 10,000 kilometer, yang mana lebih awal.

    YAMAHA MT-09 

    • ENJIN: 847 cc
    • KUASA MAKSIMUM: 115 PS @ 10,000 rpm
    • TORK MAKSIMUM: 87.5 Nm @ 8,500 rpm
    • TRANSMISI: 6-kelajuan Constant Mesh
    • KAPASITI TANGKI BAHAN API: 14 liter
    • CIRI KESELAMATAN: ABS dan TCS.
    • HARGA: RM47,388 (tanpa insurans)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gaya, Pantas, Agresif Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top