My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 21 April 2018

    Kehebatan Adiwira Wanita



    Tidak dinafikan diskriminasi terhadap wanita berlaku di seluruh dunia. Pada bidang pekerjaan, wanita sukar diberikan jawatan mahupun tanggungjawab seperti lelaki. Bagaimanapun, situasi ini mula menampakkan perubahan. 

    Bukan bersifat feminis, namun masyarakat sekarang lebih terbuka dan menerima hakikat kejayaan dan kehebatan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara. Begitu juga industri perfileman di Hollywood. Semakin banyak watak adiwira wanita yang diperkenalkan.

    Baru-baru ini, kehadiran Nebula, Gamora dan tiga wanita dalam Black Panther iaitu Okoye, Shuri dan Nakia berjaya mencuri tumpuan. Sebelum kehadiran adiwira berkenaan, terlebih dahulu kuasa Supergirl, Kitty Pryde, Black Widow dan Storm menambat hati penonton terutama wanita.

    Ada yang menjadikan mereka sebagai inspirasi agar lebih kuat menghadapi cabaran hidup. Berikut adalah 10 adiwira wanita yang menjadi sebutan tidak hanya dalam kalangan wanita tetapi juga penonton lelaki. Watak ini mempunyai ramai pengikut setia.


    1. Wonder Woman

    Dia ikon feminis. Wonder Woman ialah adiwira wanita yang dikatakan terbaik dan paling hebat. Filem ‘standalone’ yang mengisahkan kembaranya membantu menyelamatkan manusia ditayangkan tahun lalu. Karakter Wonder Woman mula dicipta pada 1941 dengan ciri mitologi Yunani.

    Wonder Woman bergabung dengan wira Justice League membentuk sebuah pasukan yang akan mempertahankan bumi daripada ancaman musuh. Wonder Woman mempunyai kelas tersendiri. Bukan hanya kerana karakternya tetapi keberanian yang ditunjukkan pada saat wira lain takut bertindak.


    2. Black Widow 

    Dia lebih kuat daripada apa yang disangkakan umum. Tidak memiliki kuasa, tidak bermakna dia lemah. Super Girl dan Invisible Woman dilahirkan dengan kuasa namun Black Widow terpaksa bekerja keras untuk mengasah kemahirannya. Karakter ini dicipta pada 1960.

    Namun kehadiran Black Widow lebih menyerlah sebagai adiwira Marvel Cinematic Universe apabila berada dalam pasukan Avengers yang berjuang demi keamanan bumi. Walaupun bermula sebagai watak jahat, tidak lama selepas itu wanita ini menjadi sebahagian daripada Avengers.

    Baru-baru ini, watak ini dikatakan mati. Bagaimanapun, kehadirannya dalam Avengers Infinity War menepis dakwaan berkenaan.


    3. Jean Grey 

    Watak ini ialah wanita pertama dalam X-Men. Dia paling berkuasa di antara semua mutan wanita dalam kisah X-Men. Walaupun berhadapan masalah peribadi dan berada dalam dilema sama ada menjadi pejuang kebaikan atau antihero, kuasanya cukup digeruni semua adiwira.

    Turut digelar sebagai Dark Phoenix, pengorbanannya demi rakan cukup mengharukan peminat. Namun, Jean Grey akan muncul semula dalam filem X-Men: Red untuk memimpin pasukannya.


    4. Batgirl 

    Barbara Gordon ada keunikan tersendiri dalam kalangan adiwira. Dia bermula sebagai Batgirl yang menggunakan kebijaksanaan serta keupayaan fizikal bagi mendapatkan kepercayaan Batman sebagai rakan dan anak murid.

    Dia banyak menghabiskan masa di lorong bagi memastikan keadaan penduduk bandar Gotham sentiasa selamat. Dengan kebijaksanaannya, Batgirl kemudian menjadi penyalur maklumat kepada Batman.

    Dia turut mengetuai adiwira wanita iaitu pasukan Birds Of Prey. Batgirl seorang wanita yang berani dan sangat penyayang. Walaupun adakalanya dilayan buruk oleh Batman, dia tetap setia dan tidak meninggalkan adiwira itu.


    5. Storm 

    Watak Storm muncul sebagai mutan yang masih belajar cara mengawal kuasanya. Seperti beberapa karakter X-Men iaitu Wolverine, Nightcrawler dan Colossus, wanita ini tidak hanya menjadi adiwira tetapi mentor kepada mutan lain.

    Dia juga diangkat sebagai pengetua Sekolah Xavier yang menempatkan mutan dari seluruh dunia. Dia menjadi tenaga pengajar agar individu yang mempunyai kuasa luar biasa mampu mengawal dan menggunakannya dengan baik.

    Apabila bercakap mengenai warna kulit, Storm adalah adiwira pertama berkulit gelap. Namun, ia bukanlah isu yang perlu diperbesarkan. Storm sangat penting di Sekolah Xavier. Peminat melihat sisi lainnya dalam X-Men: Apocalypse.


    6. Invisible Woman

    Invisible Woman adalah adiwira wanita pertama dalam Marvel Cinematic Universe. Dia mungkin bukanlah wira berprofil tinggi seperti yang lain tetapi Sue Storm masih mempunyai tempat dalam komik berkenaan.

    Tidak dinafikan awal cerita Sue kurang mendapat perhatian tetapi dia mempunyai kelebihan tersendiri hingga diserap dalam pasukan Fantastic Four. Sue dianggap ‘ibu’ yang melahirkan lebih ramai adiwira wanita.

    Sue tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua anak. Pada masa sama, Sue juga berkhidmat sebagai pelindung manusia daripada menjadi mangsa jenayah.


    7. Catwoman 

    Dia adiwira simbol seks dan nakal. Namun, karakternya cukup kuat. Dia mungkin mudah tertarik dengan lelaki tetapi pada masa sama tidak teragak-agak untuk menyakiti mereka. Ramai peminat wanita menggemari kelebihannya yang mampu memanjat tembok, terjun dari tempat tinggi serta menggunakan cemeti sebagai senjata.


    8. Mystique

    Mystique juga mempunya kuasa yang digeruni. Dia mampu bertukar menjadi siapa saja dan menipu pihak lawannya. Mystique bermula dengan watak baik dan antara kesayangan Xavier. Bagaimanapun, mutan berwarna biru ini terperangkap antara keinginan untuk diterima umum dan terpaksa menyembunyikan identitinya. Mystique akhirnya memilih menjadi pengikut Erik lehnsherr.


    9. Kitty Pryde 

    Adiwira muda ini memainkan peranan penting dalam komik kerana mewakili adiwira wanita seperti Donna Troy dan Starfire. Dia adalah wira wanita terbaik yang menjadi pembuka jalan buat X-Men. Kitty ada impian dan karakter dinamik.

    Dia adalah adiwira wanita pertama yang menjadi tunjang utama ketika golongan Hawa hanya dipandang sebelah mata. Muncul dalam Guardians of the Galaxy, dia juga memimpin pasukannya menerusi filem X-Men: Gold.


    10. Rogue 

    Rogue muncul pada awal cerita sebagai antihero. Dia bagaimanapun menambat hati penonton X-Men dengan kekuatan dan kuasa yang dimiliknya. Selepas beberapa tahun, dia akhirnya berjaya mengawal dan menggunakan kuasanya.

    Dia boleh masuk ke fikiran individu dan mengawalnya. Selain itu, Rogue juga mampu menyerap kuasa mutan lain. Bagaimanapun, Rogue tidak mampu mengalahkan Magnus dengan kelebihannya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kehebatan Adiwira Wanita Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top