My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 16 April 2018

    Malaysia Kekal Nombor Satu



    Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi nombor satu dalam pasaran pelancongan Muslim global, demikian menurut kaji selidik Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2018 yang dijalankan Mastercard-Crescent Rating. 

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Rating dan Trip Halal, Fazal Bahar­deen, kaji selidik yang melibatkan sebanyak 130 destinasi itu telah meletakkan Malaysia kekal di kedudukannya di tangga teratas buat tahun kelapan berturut-turut. Selain itu, Indonesia ber­kongsi tempat kedua de­ngan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

    “Markah indeks yang dicatatkan Malaysia adalah sebanyak 80.6, diikuti UAE dan Indonesia 72.8 markah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam. Fazal menjelaskan, pada tahun 2017, dianggarkan kira-kira 131 juta ketibaan pelancong Muslim dicatatkan di peringkat global, meningkat daripada 121 juta orang pada tahun 2016.

    Menurutnya, ia dijangka bertambah kepada 156 juta pengunjung menjelang 2020, merangkumi 10 peratus daripada segmen pelancongon.

    Sementara itu, kaji selidik GMTI 2018 turut mendapati bahawa beberapa destinasi bukan ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Asia telah meningkatkan penarafan masing-masing berbekalkan usaha berterusan untuk menyesuaikan per­khidmatan yang disediakan bagi memenuhi keperluan dan menarik pasaran pelancongan Muslim.

    “Singapura mengekalkan kedudukan di tangga teratas bagi pasaran destinasi bukan OIC, di hadapan Thailand dan United Kingdom, manakala Jepun dan Taiwan memasuki lima tangga teratas buat kali pertama sejak GMTI dilancarkan,” ujarnya.

    Sementara itu, Presiden Serantau Mastercard bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei, Safdar Khan berkata, semakin besar saiz pasaran Muslim, maka semakin me­ningkatnya potensi ekonomi daripada segmen tersebut. “Perniagaan di Malaysia juga perlu memahami dan menganalisis permintaan dengan lebih baik serta me­rangka tawaran baharu untuk kekal di hadapan,” jelasnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Malaysia Kekal Nombor Satu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top