My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 18 April 2018

    "Superman" Pun Kena Denda



    TINDAKAN pemuda membuat aksi ala ‘superman’ ketika menunggang motosikal membawa padah apabila dipenjara sehari dan dikenakan denda RM6,000 di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

    Muhammad Riezal Kamarudin, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie. Mengikut pertuduhan, tertuduh menunggang motosikal Yamaha 125Z secara melulu tanpa mengambil kira bahaya kepada orang awam di Jalan Kota Kinabalu-Papar berhampiran Taman Jumbo di Petagas, dekat sini, pada 3.30 pagi, 17 Februari lalu. 

    Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000. Berdasarkan fakta kes yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, tertuduh ditahan dalam Ops Cegah Samseng Jalanan di Jalan Kota Kinabalu-Papar.

    Ketika operasi itu, sepasukan anggota polis trafik membuat intipan dan mengekori beberapa motosikal termasuk tertuduh yang membuat aksi berbahaya iaitu ala ‘superman’ dengan meniarap di atas tempat duduk motosikal serta membuat dua kali pusingan dekat Taman Jumbo, Petagas.

    Tertuduh kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut. Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanif Mamyudi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh yang berasal dari Tawau sebelum itu memohon diringankan hukuman kerana baru saja tamat Tingkatan Enam dengan ibu bapanya hanya bekerja sebagai buruh ladang. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: "Superman" Pun Kena Denda Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top