My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 14 May 2018

    Ibu Bapa Kongsi Derita



    Penyakit tidak pernah kenal mangsa. Begitu juga dengan kanser yang boleh dihidapi oleh kanak-kanak. Pengalaman menjalani rawatan penyakit ini pula, bagi pesakit dewasa sudah dirasakan sangat menyakitkan, apatah lagi buat kanak-kanak. 

    Individu paling terkesan dalam melihat penderitaan mereka adalah ibu bapa yang rata-rata rela mengambil tempat si anak supaya mereka terlepas daripada kesakitan.

    Menurut Pengasas Persatuan Sokongan Kanser Kanak Kanak PPUKM atau CAKNE, Nor Hashimah Sulaiman, sepanjang beliau terbabit dalam kumpulan sokongan khusus membantu ibu bapa pesakit kanser, saat paling sukar adalah ketika dia menemui keluarga pesakit bayi berusia satu bulan yang didiagnos menghidapi penyakit berkenaan.

    “Pesakit kanser kanak-kanak paling muda pernah saya jumpa berusia satu bulan dan tidak tergambar perasaan ibu bapanya yang terpaksa menanggung beban sedemikian selepas sekian lama menanti kehadiran cahaya mata.

    “Saya sendiri menubuhkan persatuan ini daripada pengalaman apabila anak perempuan, Nurul Islah, 20, disahkan menghidap kanser otak ketika dia berusia sembilan tahun. Anak saya terpaksa melalui pembedahan otak, radioterapi selama 30 sesi dan lapan kitaran kemoterapi.

    “Saya dan suami, Mohd Shah Awaluddin memang ‘berumah tangga’ di hospital dan ia pengalaman sukar buat kami ketika itu kerana tiada pengetahuan mengenai penyakit kanser.

    "Tidak mudah berulang-alik pada awal rawatan kerana ia dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras kerana kami tinggal di Seremban.

    “Pada saat diberitahu mengenai penyakit anak, kami terduduk dan terkejut. Namun, melihat kekuatan Nurul Islah menghadapi ujian ini menjadi pendorong kepada kami untuk sentiasa bersamanya kala dia mengharung semua rawatan.

    Ketika di hospital itu juga kami bertemu ramai pesakit kanser dan keluarga mereka yang membuatkan kami melihat perspektif lain khususnya soal sokongan yang diperlukan ibu bapa. “Untuk kami, meskipun saya dan suami bekerja, tempias mengenai kesusahan membiayai rawatan anak tetap terasa.

    "Ketika itu terfikir bagaimana pula keadaan ibu bapa yang berpendapatan kecil dan mempunyai ramai anak, tentu kehidupan mereka jauh lebih sukar. Justeru, kami tubuhkan tabung khas menerusi baki dana yang disalur kawan-kawan dan saudara-mara ketika membantu anak dulu kepada keluarga yang memerlukan.

    Kami bermula dengan memberikan bantuan kecil seperti kit asas iaitu keperluan ibu bapa menginap di hospital, diikuti sumbangan kewangan untuk keluarga susah selama enam bulan dengan kos RM300, selain tambang berulang-alik ke hospital,” katanya.

    Sementara itu, Suraya Molikilisan, 40, ibu kepada anak istimewa, Mohd Hazim Khairi berkata, ketika pelbagai program CAKNE dianjurkan bagi menceriakan pesakit, ibu bapa turut berasa tenang apabila dikelilingi kumpulan sokongan yang terdiri daripada ibu bapa bekas pesakit yang pernah melalui pengalaman sama.

    “Cabaran untuk anak saya ialah selain menghidap kanser, dia juga kanak-kanak istimewa yang tidak boleh bertutur seperti anak lain. Dia tidak dapat bercerita mengenai kesakitan, lantas membuatkan keadaan kami lebih sukar andai dibandingkan dengan ibu bapa lain sepanjang tempoh Mohd Hazim menjalani rawatan.

    “Apabila kami dirujuk kepada persatuan ini, ibu bapa lain sentiasa memberi nasihat mengenai persediaan kami yang mempunyai anak menghidap kanser. Alhamdulillah, anak kami berjaya mengharungi tiga kitaran bagi merawat kanser,” katanya.

    Koordinator CAKNE yang juga suami Hashimah, Mohd Shah pula berkata, sejak CAKNE ditubuh, tenaga sukarelawan yang datang daripada keluarga pesakit itu sendiri banyak menyumbang terhadap kelangsungan badan kebajikan itu.

    “Melalui CAKNE kami menganjurkan pelbagai program yang tidak saja membantu beri sokongan kepada pesakit malah kami mahu ibu bapa tidak berasa tersisih. Kami cuba memberi perspektif berbeza mengenai masa depan pesakit dengan sentiasa meraikan mereka melalui pelbagai program bersesuaian mengikut saranan doktor.

    “Sebagai contoh, setiap bulan kami mengadakan sambutan hari lahir bagi menzahirkan rasa syukur diberi kesempatan untuk terus menikmati kehidupan. Terkini, kami dalam misi menawan Gunung Kinabalu menerusi kempen CAKNE Kinabalu Challenge 2019 (CKC19).

    Kami mahu bawa 10 pejuang kanser kanak-kanak mendaki Gunung Kinabalu dengan iringan 20 atau 30 pendaki lain,” katanya serta menambah program itu mendapat sokongan NGO dan komuniti lain.

    Pengarah Urusan Resilience Studio, Shuhada Mohamad berkata, dia terpanggil untuk menjadi keluarga CAKNE kerana memahami kesukaran ibu bapa pesakit yang memerlukan sokongan bukan saja dalam bentuk material malah kekuatan moral.

     “Dalam program kami, ibu bapa turut diraikan. Mereka boleh bergaul dan berkongsi perkembangan anak dalam latar berbeza dan lebih santai. Bagi saya, CAKNE mempunyai fokus yang berlainan dengan NGO lain kerana pengasasnya menyasarkan pesakit kanser kanak-kanak dan pada masa sama, membantu ringankan beban ibu bapa.

    Justeru saya terpanggil menjadi sebahagian komuniti dalam penganjuran pelbagai program bagi menjana dana untuk projek kebajikan mereka,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ibu Bapa Kongsi Derita Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top