My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 8 May 2018

    Lancar Aplikasi



    Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melancarkan aplikasi mudah alih hujung bulan ini bagi membantu penumpang merancang perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan lebih cekap. 

    Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, aplikasi yang belum dapat didedahkan namanya itu adalah sebahagian daripada inisiatif analitik data raya yang dilaksanakan MAHB bermula tahun lalu.

    “MAHB memperuntukkan RM30 juta untuk inisiatif analitik data raya yang dilaksanakan bagi memperkemaskan operasi kami dan hujung bulan ini, satu aplikasi akan dilancarkan untuk kemudahan pengguna,” katanya kepada media selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MAHB dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

    Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UiTM (Komuniti Industri dan Hubungan Alumni), Prof Dr Zaini Abdullah.

    Badlisham berkata, ciri pintar aplikasi mudah alih itu termasuk perancang perjalanan yang akan menyediakan maklumat masa nyata mengenai lalu lintas ke lapangan terbang dan juga masa giliran di kaunter daftar masuk dan juga pengemudi yang akan memudahkan pencarian lapangan terbang. 

    “Aplikasi mudah alih itu juga akan membolehkan penumpang mendapat maklumat tentang status penerbangan dan bagasi serta menghubungkan mereka kepada ejen pelanggan kami bagi perbualan langsung mengenai pertanyaan khusus berkaitan lapangan terbang,” katanya.

    Sementara itu, pengendali lapangan terbang itu menjalinkan kerjasama dengan UiTM bagi mempergiat pertukaran dan perkongsian kepakaran. Kerjasama dua hala antara organisasi terbabit yang dimeterai menerusi MoU itu bakal memberi manfaat dalam bidang penyelidikan, latihan dan kemahiran.

    MoU itu akan mempromosikan serta mewujudkan peluang penerokaan bagi membangunkan dan menyokong penyelidikan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Badlisham berkata, ia adalah perkongsian intelektual yang membuka peluang kepada pelajar memahami operasi harian syarikat.

    “Kerjasama ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami dalam usaha memberi nilai tambah dan sumbangan kepada masyarakat sekeliling terutama belia,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Lancar Aplikasi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top