My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 23 May 2018

    Mungkin, Ini Punca Kekalahan BN Pada PRU14 - Bahagian 3



    Hari ini adalah hari terakhir analisismengenai kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum yang ke 14 baru lalu. Jika ada yang terlepas dua siri sebelum ini, dipersilakan layari https://blusamurai.blogspot.my/2018/05/mungkin-inilah-punca-kekalahan-bn-pada.html dan https://blusamurai.blogspot.my/2018/05/mungkin-ini-punca-kekalahan-bn-pada-pru.html untuk memahami keadaan sebenar.

    Sehingga kini, sudah enam punca dikenal pasti sebagai menyumbang kepada kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum yang lalu. Perlu diingatkan bahawa, kajian ini adalah hasil kajian perseorangan dan bukannya hasil kajian daripada pihak UMNO dan BN itu sendiri. Berikut merupakan 3 sebab terakhir punca kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu.

    7. BN gagal menyeimbangkan kempen dan gerak kerja politik

    Bunyinya mungkin kelihatan satu tuduhan yang tidak berasas. Ini kerana sepanjang pentadbiran lima tahun kerajaan BN pada penggal yang lalu, hampir kesemua kaum merasai sentuhan terus daripada kerajaan tanpa mengira kaum. Sebut sahaja apa jua projek kerajaan BN sebelum ini, semua pihak akan merasainya.

    Namun, tanpa kita sedar, BN sebenarnya cukup terkesan dengan tsunami Cina yang wujud pada PRU ke 13 yang lalu. Malah, BN juga sudah mula merasai "ombak" besar ini pada PRU ke 12 yang menyaksikan penurunan kerusi milik BN berlaku dengan agak mendadak.

    Jika kita lihat pergerakan kerja BN sebelum ini, BN dilihat lebih cenderung untuk memastikan tidak lagi wujud tsunami Cina berlaku pada PRU ke 14 kali ini. Sehinggakan, penduduk di luar bandar yang majoritinya kaum Melayu menganggap, tumpuan khusus lebih diberikan kepada keperluan kaum Cina sehingga wujud perasaan kurang senang di kalangan pengundi luar bandar.

    Ketika berbual dengan beberapa orang penduduk luar bandar di beberapa perkampungan di sekitar Perak baru-baru ini, mereka mendakwa, seperti terdapat sesuatu yang tidak kena terhadap cara dan layanan yang diterima oleh warga luar bandar. Namun, mereka enggan memanjangkan cerita ini dan hanya menyimpan di dalamhati sebelum ianya meletus pada Pilihan Raya Umum ke 14.

    Mungkin ada yang menganggap faktor ini dianggap seperti kenyataan rasis. Namun, hakikatnya, BN terlalu fobia dengan tsunami Cina sehinggakan BN terpaksa berhadapan dengan 3 tsunami serentak iaitu tsunami Melayu dan Bumiputera, tsunami Cina dan tsunami India.

    8. Ahli parti komponen BN sendiri mengkhianati BN

    Jika difikirkan secara logik, mana mungkin BN akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 kali ini jika bersandarkan kepada jumlah keseluruhan ahli di dalam kesemua 13 parti komponen BN itu sendiri.

    Mari kita renungkan sejenak, jumlah keahlian bagi 5 buah parti komponen BN daripada 13 keseluruhannya. Secara amnya, UMNO mempunyai 3.8 juta orang ahli, MCA mempunyai 1.1 juta orang ahli, MIC mempunyai 570 ribu orang ahli, Gerakan dengan 300 ribu orang ahli dan PBB Sarawak mempunyai kira-kira 500 ribu orang ahli.

    Andai dihitung kepada kelima-lima parti komponen terbesar BN ini, BN mempunyai kira-kira 6.27 juta ahli dan jumlah ini belum lagi dicampur dengan 8 lagi parti komponen BN yang lain. Keseluruhannya, seramai 14.48 juta orang pengundi berdaftar di seluruh negara yang mana menurut SPR, seramai 12.2 juta orang telah menjalankan tanggungjawab mereka pada PRU ke 14 kali ini.

    Jika difikirkan secara logik, BN tidak mempunyai masalah untuk memenangi PRU ke 14 dengan kira-kira 55 peratus daripada pengundi itu adalah penyokong BN. Namun hakikatnya, dianggarkan seramai 7.8 hingga 8 juta orang mengundi untuk Pakatan Harapan dan angka ini sebenarnya termasuk dengan ahli parti komponen BN itu sendiri.

    Lebih menyedihkan, dalam berjuta ahli parti komponen BN ini, dianggarkan 1 per 4 daripadanya tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi. Ingin ditanyakan, adakah keahlian seramai ini langsung tidak membawa erti apa-apa untuk BN? Lebih teruk lagi, adakah wujud tindakan sabotaj dan mengkhianati parti berlaku pada PRU ke 14 yang lalu?

    Untuk persoalan ini, jawapan mudahnya adalah ya. Ramai dikalangan ahli parti komponen BN sendiri mengkhianati parti dengan mengundi Pakatan Harapan sehinggakan BN tersungkur teruk. Mungkin pelbagai faktor yang menyumbang kepada peralihan sokongan ini namun dalam hal ini, BN gagal menerapkan jati diri dan semangat kuat untuk memastikan ahli dan penyokongnya sendiri kekal bersama-sama BN.

    9. BN gagal mengenal pasti calon yang layak untuk dicalonkan

    Faktor inlah yang paling banyak diperkatakan sehingga kini. Bagi kalangan pemerhati, langkah BN yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab memilih calon kepada Pengerusi Perhubungan Negeri, adalah satu kesilapan yang paling besar berlaku. Sebelum ini, kesemua calon adalah hasil daripada pemilihan jawatankuasa pemilih dan diputuskan sendiri oleh Pengerusi Pilihan Raya BN sebelum mendapat perkenan Pengerusi BN.

    Mari kita lihat beberapa senario yang menyumbang kepada permasalahan ini. Umum sedia maklum bahawa UMNO bakal mengadakan Pemilihan Agung UMNO menjelang hujung tahun ini. Melihat kepada keadaan ini, pastinya mereka yang menyimpan impian untuk berada pada saf tertinggi parti akan meletakkan orang-orang mereka bertanding di sesebuah kerusi tanpa mempedulikan sentimen rakyat.

    Di sinilah permulaan kepada kemusnahan BN sepenuhnya. Amanat Datuk Seri Mohd Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan calon yang berkaliber, diterima rakyat dan mampu untuk membuat kerja, diketepikan semata-mata mengejar pangkat.

    Malah, diberitakan juga, ada beberapa calon yang sudah terbukti gagal membawa kemenangan BN sejak dua pilihan raya umum sebelum ini juga turut dicalonkan dikerusi yang sama. Bukankah selama dua pilihan raya ini rakyat telah menyuarakan penolakan mereka terhadap calon-calon ini? Kenapa masih perlu meletakkan calon-calon recycle ini kekal bertanding di kerusi yang mereka sendiri gagal rebut?

    Rakyat menilai hasil kerja calon-calon ini selama beberapa penggal.Sebarang kesilapan yang dilakukan oleh calon mahupun pemegang sesebuah kerusi itu akan dinilai di kertas undi.Apa yang menyedihkan, kegagalan mengesan calon yang berpotensi ini juga turut disumbangkan dengan pergolakan dalaman kesemua parti komponen BN. Bukankah itu semakin melemahkan BN?

    Mungkin, inilah faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN pada PRU ke 14. Bagi rakyat biasa, mungkin mereka meletakkan beban kekalahan BN ini di bahu Datuk Seri Mohd Najib selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN. Banyak isu dimainkan Pakatan Harapan seperti GST, 1MDB, sumbangan derma 2.6 bilion dan banyak lagi.

    Namun, percayalah, kesemua faktor itu adalah faktor sampingan yang mendorong kekalahan BN. Kita perlu mengenal pasti faktor utama dari BN sendiri yang dianggap gagal dalam 9 aspek bagi mendekati rakyat. Hari ini, terimalah hakikat bahawa UMNO dan BN telahpun tewas buat kali pertama dalam sejarah.

    Apa yang perlu dilakukan adalah kebangkitan semula BN dari lembah kekalahan. Sebarang kebangkitan yang berlaku pastinya amat ditunggu-tunggu oleh para penyokong dan ahli BN di seluruh negara. Kita boleh meratap hiba kekalahan kita namun meratap tanpa usaha,kita tidak akan kemana. Bangkitlah semula BN untuk persiapan 5 tahun dari sekarang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mungkin, Ini Punca Kekalahan BN Pada PRU14 - Bahagian 3 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top