My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 21 May 2018

    Mungkin, Inilah Punca Kekalahan BN Pada PRU14 - Bahagian 1



    Rasanya, mungkin ramai dikalangan ahli UMNO dan penyokong Barisan Nasional masih lagi tertanya-tanya, bagaimana UMNO dan BN boleh tumbang pada PRU ke 14. Mungkin juga ramai yang tertanya-tanya, apa sudah jadi kepada parti yang memegang tampuk pemerintahan selama 60 tahun namun tersungkur disaat ramai yang menganggap, UMNO dan BN berada pada tahap terbaik.

    Benar, tidak ada sesiapa pun di dunia ini bersedia menerima kekalahan. Tidak ada sesiapa di dunia ini mampu menghadam tertewasnya kita disaat segala kekuatan di gembeling untuk memastikan UMNO dan BN kekal berkuasa. Paling utama, tidak ada sesiapa menduga, kita tewas di kerusi yang secara tradisinya kita menang.

    Keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 sememangnya cukup memberi kesan kepada BN. Datuk Seri Liow Tong Lai dari MCA, Datuk Seri Mah Siew Keong dari Gerakan dan Datuk Seri S Subramaniam dari MIC tewas di kerusi masing-masing. Mereka bukanlah nama kecil di dalam parti mereka. Mereka adalah Presiden kepada parti komponen BN yang selama ini mampu mempertahankan kerusi masing-masing.

    Timbul persoalan, kenapa dan bagaimana semua ini boleh berlaku? Adakah BN dan UMNO sudah tidak lagi relevan? Adakah hari ini rakyat benar-benar mahukan pembaharuan? Atau mungkin juga UMNO dan BN tewas akibat dari panah-panah fitnah yang bertaburan sejak 2008 lagi?

    Apa yang dapat kita lihat hari ini, UMNO dan BN masih belum mampu lagi untuk memperbetulkan keadaan. Masing-masing termanggu dan memikirkan nasib setelah mengalami kekalahan sehinggakan UMNO dan BN terlupa untuk mendalami sendiri kenapa keputusan PRU14 tidak memihak kepada UMNO dan BN,

    Mari kita selusuri 9 penyebab yang menyumbang kepada kekalahan UMNO dan BN pada PRU ke14 kali ini. Kesemua 9 penyebab ini adalah hasil daripada reaksi rakyat sendiri terhadap apa yang berlaku sejak 2008 sehinggalah detik 9 Mei 2018. Mungkin ada yang tidak betul namun satu siasatan perlu dilakukan oleh BN dan UMNO supaya ianya mampu menjawab 1001 persoalan yang berlegar di benak pemikiran setiap seorang ahli UMNO dan penyokong BN di seluruh negara.

    Perlu diingatkan bahawa apa sahaja yang tertulis menerusi artikel ini adalah pendapat peribadi dengan disokong oleh beberapa temu ramah dengan rakyat bawahan yang selama ini suara mereka kerap kali ditenggelami dengan pelbagai faktor. Ini bukanlah hasil kerja mana-mana pihak di dalam UMNO mahupun Barisan Nasional sendiri.

    1. Kegagalan UMNO dan BN dalam mendekati anak muda

    Secara amnya, kelangsungan sesebuah parti politik banyak bergantung kepada kemampuan generasi pelapis dalam meremajakan sesebuah parti. Menyentuh hal ini, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Janib Tun Abdul Razak kerap kali menyeru supaya UMNO dan BN perlu diremajakan dengan mendekati anak-anak muda.

    Masalahnya bermula apabila UMNO dan BN sendiri gagal dalam usaha mendekati anak muda seawal usia 18 tahun. Umum mengetahui, untuk mendapat seorang penyokong sesebuah parti politik, ianya perlu bermula seawak 17 hingga 18 tahun kerana kelompok inilah yang akan menjadi pengundi sebaik sahaja usia mereka mengenjak ke usia 21 tahun.

    Menariknya, walaupun kuasa ada di tangan UMNO dan BN, kita terleka dengan keperluan mendekatkan diri kita dengan kelompok awal ini. Kita lebih berminat untuk menganjurkan program yang ramai menganggap ianya hanyalah program syok sendiri tanpa kita menerapkan nilai-nilai kesetiaan dan cintakan negara di dalam jiwa dan sanubari kelompok ini.

    Sebaliknya pula berlaku bagi pakatan pembangkang yang hari ini telah berjaya membentuk sebuah kerajaan. Menurut beberapa kajian, PKR sendiri telah menggerakkan tenaga mereka untuk mendekati golongan pelajar IPTA dan IPTS menerusi Angkatan Muda Keadilan dan Solidariti Anak Muda Malaysia.

    Pendekatan mereka mudah. Bukan berceramah menerusi politik sebaliknya mereka mendengar keluh kesah anak muda ini yang kita ketahui begitu banyak masalah dan persoalan yang bermain diminda mereka. Mereka tanpa jemu menjawab dan menerangkan apa sahaja persoalan yang bermain diminda anak muda ini tanpa mempedulikan kebenaran disebalik penerangan mereka ini.

    Bagi BN dan UMNO pula, benar, mereka ada juga membuat program di IPTA dan IPTS namun dengan tidak ada kelangsungan program, maka anak muda ini akan kembali kepada mereka yang mahu mendengar masalah mereka berbanding menghadiri program-program sehari atau dua hari anjuran UMNO dan BN.

    Lihat hasilnya pada PRU ke 14 kali ini. Secara amnya, kita hilang begitu banyak undi dari saluran 4, 5 dan 6 yang mana saluran ini dipenuhi oleh anak muda antara 21 sehingga 35 tahun. Lebih menarik lagi, majoriti mereka adalah pengundi kali pertama yang dianggarkan seramai 3.5 juta orang. Bukankah ianya satu kerugian apabila satu per empat undi pun kita masih gagal untuk bolot?

    2. UMNO dan BN tewas akibat peruntukan yang sepatutnya disalurkan, tidak sampai kepada golongan sasar

    Ya, perlu diakui bahawa faktor ini adalah faktor yang agak sensitif. Namun, kita perlu melihatnya dari sudut positif yang mana, kebanyakan Cawangan yang ditemui memberitahu, mereka tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk menggerakkan jentera dan menganjurkan program untuk UMNO dan BN.

    Amat menghairankan sebenarnya, bagaimanakah wang yang diperuntukkan untuk majoriti cawangan dan bahagian ini tidak sampai atau tidak mencukupi? Tidak ada sesiapapun waima Pakatan Harapan sendiri mampu menafikan, peruntukan sebegini amat perlu untuk menggerakkan jentera bagi membolehkan merekamembuat kerjadengan lebih berkesan.

    Malah, ada diantara rakyat yang ditemui memberitahu, kesukaran mereka untuk mendapatkan bantuan terus daripada ADUN atau Ahli Parlimen BN disaat mereka amat memerlukan bantuan berkenaan.

    Inilah yang menjadikan rakyat dan segelintir ahli mahupun cawangan mula menjauhkan diri dengan mana-mana calon dari BN mahupun UMNO. Benar, bukan semuanya berkelakuan sedemikian. Malah, ADUN ataupun Ahli Parlimen Pakatan Harapan sendiri pun tidak membuat kerja mereka sepanjang 5 tahun berkuasa.

    Namun, bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hakikat inilah yang seringkali menjadikan seseorang calon dan BN ini ditolak oleh pengundi. Walaupun ianya bukan kesalahan yang dia lakukan kerana ada diantara mereka menjadi calon untuk kali pertama, namun, rekod lama telah mencalarkan imej parti dan sekaligus menjangkiti calon yang cuba diketengahkan UMNO dan BN.

    3. Kegagalan jentera menyeragamkan penyampaian maklumat dari kerajaan kepada rakyat

    Dunia hari ini begitu kompleks sebenarnya. Jika dahulu, kerajaan hanya perlu melaporkan apa sahaja dasar dan maklumat kepada pihak akhbar dan kaca televisyen untuk disebarkan kepada rakyat. Namun hari ini, kemuculan media sosial seperti Facebook, Twitter dan applikasi Whatsapp, telah memberi lembaran baru terhadap penyampaian maklumat.

    Sebagai contoh, perlaksanaan GST yang mendapat kritikan ramai sehingga menyaksikan kerajaan tumbang. Semasa pengenalannya pada 1 April 2015, ramai pihak termasuk beberapa menteri kerajaan memberitahu, perlaksanaan GST ini akan dapat mengurangkan harga barangan keperluan di pasaran. Namun, apa yang disaksikan adalah, tiada sebarang penurunan harga berlaku.

    Pada ketika ini, tidak ramai yang meneliti trend kenaikan harga barang telah pun berlaku 5 hingga 6 bulan sebelum perlaksanaan GST. Lebih memburukkan keadaan, penerangan mengenai GST ini juga dilakukan dengan menggunakan cara penerangan yang sukar untuk difahami oleh rakyat. Lihat sahaja penggunaan perkataan "pencatutan". Berapa ramai yang tahu akan istilah ini?

    Ditambah pula dengan pelbagai penerangan diberi menerusi laporan media online, portal dan blog-blog persendirian yang seringkali dipulaukan begitu sahaja tanpa ada usaha memanjangkan hasil penerangan berkenaan. Lebih melucukan, ada diantara penyokong kerajaan pada ketika itu lebih senang memanjangkan artikel memfitnah seperti yang diterbitkan menerusi beberapa portal pro pembangkang.

    Secara amnya, kerajaan BN sebenarnya kerap kali menyiarkan pelbagai keterangan menerusi lidah rasmi kerajaan iaitu Kumpulan Utusan. Setiap hari, ada sahaja artikel yang menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat namun, tidak ramai yang mengambil inisiatif membaca dan menyebarkan keterangan berkenaan.

    Hasilnya, rakyat yang begitu dahagakan kepelbagaian maklumat ini secara mudah disuap dengan berita yang tidak diketahui sumber dan asasnya. Contoh mudahnya dalah GST yang mana pemain media mereka kerap kali memanipulasikan berita mengenai GST dan hasil kutipannya. Paling menarik, mereka tanpa henti mengaitkan perlaksanaan GST ini dengan kenaikan kos sara hidup.

    Disinilah kegagalan besar pengamal media pro kerajaan BN sebelum in. Sudahlah tidak mengwar-warkan dengan meluas dasar-dasar kerajaan, wujud perperangan sesama sendiri sehingga wujud aksi pulau memulau, turut memberi kesan yang besar kepada penyampaian maklumat yang seragam dari biro media UMNO dan BN.

    Bersambung...
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Mungkin, Inilah Punca Kekalahan BN Pada PRU14 - Bahagian 1 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top