My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 21 May 2018

    Polemik GST, Sampai Bila Rakyat Akan Tahu Kebenarannya?



    Sejak 1 April 2015, atara topik yang paling hangat dibicarakan adalah tentang sistem cukai GST yang dikatakan telah menyumbang kepada kenaikan harga barang di pasaran hari ini. Tidak dapat dinafikan, harga barangan sejak sekian lama lagi sudah menunjukkan kenaikan samada kita mengenakan cukai SST mahupun GST.

    Secara amnya, jika kita ambil pengiraan mudah, sepatutnya, GST yang dikenakan sebanyak 6 peratus ini adalah jauh lebih murah berbanding cukai SST yang dikenakan pada kadar 10 + 5 peratus. Namun, apa yang berlaku sebaliknya. Harga barangan selepas pengenalan cukai GST ini dilihat semakin meningkat dan tiada menampakkan sebarang petanda penurunan walaupun pelbagai inisiatif diperkenalkan.

    Namun, mainan persepsi nyata telah menenggelamkan segala fakta yang dimanipulasikan menerusi politik. Mari kita imbau sejenak beberapa bulan sebelum perlaksanaan GST di buat. Mungkin tidak ramai yang perasan hakikat ini bahawa sekitar November dan Disember 2014, harga barangan telah menampakkan kenaikan antara 10 hingga 15 peratus.

    Pada ketika itu, antara alasan yang diberi oleh para pembekal dan pemborong adalah kenaikan harga minyak di pasaran yang menyaksikan kenaikan ini berterusan sehinggalah hari perlaksanaan GST dilakukan. Menariknya, walaupun harga minyak pasaran dunia mengalami penurunan mendadak sehingga mencecah USD 27 Dolar setong, harga barangan masih kekal masih tinggi.

    Kemuncaknya, apabila isu membabitkan GST ini dimainkan dengan meluas semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 14. Antara yang masih diingati adalah, slogan yang menyatakan, 9 Mei 2018 adalah hari terakhir rakyat Malaysia membayar GST. Namun, apa yang disaksikan, sejak kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu, sehingga kini, rakyat terpaksa membayar cukai berkenaan.

    Perlu diakui bahawa sebarang perubahan perlaksanaan cukai akan memakan masa sekurang-kurangnya setahun sehingga dua tahun. Bayangkan, banyak agensi perlu dilatih semula untuk melaksanakan sistem percukaian baru seperti Jabatan Kastam DiRaja, KPDNKK dan beberapa agensi lain.

    Malah, untuk memansuhkan GST itu sendiri perlu mendapat kelulusan daripada Dewan Rakyat dan dalam kes ini, Dewan Rakyat masih belum lagi bersidang. Persoalannya, bagaimana mahu memansuhkan cukai GST pada 9 Mei lalu dengan begitu banyak halangan dan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan?

    Menariknya, sepanjang 11 hari kerajaan baru ini dibentuk, terdapat tiga kenyataan berbeza dikeluarkan oleh kerajaan. Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam satu kenyataannya mengakui, tidak mungkin kerajaan Pakatan Harapan mampu untuk memansuhkan cukai GST dalam tempoh 100 hari pentadbirannya seperti yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.

    Namun hal ini ini pantas di nafikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mengumumkan, cukai GST akan di caj sebanyak 0 peratus bermula 1 Jun ini. Kenyataan berkenaan dibuat sesuai dengan penyebaran satu pengumuman khas yang dibuat oleh Kementerian Kewangan yang tular di media-media.

    Tidak lama kemudian, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula dalam satu kenyataan mendakwa, sehingga kini, pihaknya masih belum mebuat sebarang pengumuman pemansuhan atau mengurangkan kadar GST. Malah, beliau juga dalam kenyataannya memberitahu, kadar GST masih kekal sama sehingga pengumuman lain dibuat setelah pihak kerajaan selesai mengkaji kadar cukai ini.

    Inilah yang menimbulkan polemik di kalangan rakyat Malaysia. Di kala ramai yang memerhati dengan penuh minat, sejauh mana 10 janji dalam tempoh 100 hari ini dilaksanakan, terdapat 3 kenyataan yang berbeza dikeluarkan. Sudah tentu, rakyat tertanya-tanya, adakah cukai GST ini akan terus digunakan atau diganti dengan cukai SST seperti yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir sebelum ini.

    Untuk berlaku adil, adalah tidak adil untuk menilai sebarang keputusan yang diambil kerajaan dalam tempoh hanya 11 hari tentang GST. Mungkin kita wajar memberikan kerajaan peluang untuk menentukan hala tuju dan pilihan kerajaan dalam isu ini. Namun, pada masa yang sama, pihak-pihak yang berkenaan wajar untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang mungkin mengelirukan rakyat.

    Rakyat masih boleh menunggu sehingga tiba masanya, satu ketetapan diambil untuk kes perlaksanaan cukai. Sehingga ke satu hari yang ditentukan, apa yang perlu dilakukan adalah mendengar sebarang pengumuman oleh kerajaan dan memerhati serta menilai samada 10 janji dalam tempoh 100 hari ini dapat dilaksanakan ataupun tidak.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Polemik GST, Sampai Bila Rakyat Akan Tahu Kebenarannya? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top